Abdul H. Jaffar
RealTraderCommunity Blog > Analisa Mingguan > Minggu 49: Pandangan Trader

Minggu 49: Pandangan Trader

Ulasan Mingguan

Pasaran niaga hadapan ditutup sedikit lemah minggu lepas, turun 0.05% di bawah sifar pada hari Jumaat, dengan bijirin (+1.36%) dan indeks saham (+0.57%) mengetuai kompleks dagangan, sementara logam (-0.74%) dan barangan lembut (-0.8%) ketinggalan. Niaga hadapan matawang menyaksikan permintaan yang lebih tinggi untuk Dollar Amerika (+0.51%) berbanding matawang lain yang semuanya mengalami penurunan, dengan penurunan paling teruk dialami oleh Euro (-0.72%) dan Peso Mexico (-0.71%).

 

Sentimen pelabur yang diukur oleh CNN Fear & Greed Index, menunjukkan pasaran yang masih tertekan, namun persidangan G20 seakan memberi harapa baru, apabila skor bertambah baik berbanding minggu sebelumnya. Skor Indeks CNN itu naik dari 9 pada minggu sebelumnya kepada 22 pada hari Jumaat. Skor yang dilihat mula menstabil ini, memberi isyarat bahawa pelabur akan kembali ke pasaran saham dan matawang komoditi akan terus mendapat permintaan.

 

Pasaran bercampur-campur pada minggu lepas, dengan Dollar menjadi tajuk utama apabila ucapan Pengerusi Feds, Jerome Powell dan minit mesyuarat FOMC menjadi tumpuan. USD/JPY yang dibida sepanjang tiga hari, akhirnya mengalah apabila Pengerusi Feds memberi kenyataan yang bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini. Minit mesyuarat FOMC pula menunjukkan Feds yakin untuk menaikkan kadar pada 19 Disember ini dan 4 lagi kenaikan pada tahun depan. Apapun kenyataan Pengerusi Powell, disambut baik oleh pasaran apabila indeks saham utama AS melonjak semula. Matawang komoditi AUD dan NZD dibida sepanjang minggu, ekoran pelabur menjangkakan sidang G20 yang berhasil.

 

Pandangan Mingguan

Sidang G20 yang positif, walaupun ianya hanyalah gencatan AS-China selama 90 hari, pastinya menceriakan pasaran. Dollar juga dilihat bakal terus mencuri tumpuan minggu ini ekoran laporan NFP pada setiap Jumaat awal bulan. Angka pekerjaan bukan perladangan AS itu dijangka melemah dari 250 ribu kepada 200 ribu untuk bulan November dengan kadar pengangguran AS yang dijangka stabil pada 3.7%. Pendapatan purata sejam, pada asas tahunan, juga dijangka stabil pada 3.1%.

Sebelum daripada itu, Pengerusi Powel akan memberi keterangan di Kongres AS dan laporan NFP dari syarikat ADP dijangka lemah, turun dari 227 ribu kepada 195 ribu; di samping indeks bukan perkilangan ISM yang juga dijangka melemah dari 60.3 mata kepada 59.1 mata. Dollar bakal membuka minggu dengan indeks perkilangan ISM yang dijangka sedikit lemah dari 57.7 kepada 57.5 mata.

Jiran AS, Kanada bedepan dengan mesyuarat kadar BoC minggu ini yang dijangka kekal pada 1.75%. Namun pasaran meletakkan 25% kemungkinan untuk BoC menaikkannya kepada 2%, ekoran BoC yang pernah membuat kejutan sebelum ini. Sekiranya ini berlaku CAD/JPY dilihat boleh memacu naik menguji paras 87 Yen. Angka pekerjaan Kanada juga dijangka lebih baik, meningkat dari 11,200 kepada 15 ribu orang.

Pasaran Eropah, dimulai dengan Jerman bakal melaporkan indeks perkilangan yang dijangka stabil pada 51.6 dan UK sedikit baik dari 51.1 kepada 51.8 mata. Indeks perkhidmatan UK juga dijangka sedikit baik dari 52.2 kepada 52.5 mata, walaupun indeks pembinaan dijangka melemah dari 53.2 kepada 52.5 mata. Gabenor BoE Carney juga bakal berucap dan komen beliau atas Brexit boleh mempengaruhi pergerakan Pound. Ketiadaan data berimpak tinggi dari Euro Zon, dilihat bakal menjadikan krisis Itali sebagai tumpuan pasaran.

Tidak banyak data dari Asia minggu ini, hanya dengan Australia yang bakal melaporkan KDNK yang dijangka menurun dari 0.9% kepada 0.6% dan jualan runcit yang stabil pada 0.2%. RBA dilihat akan terus mengekalkan kadar pada 1.5% dan memberi komen positif tentang ekonomi Australia, seperti dalam kenyataan laporan kestabilan ekonomi sebelum ini. Rakan dagang terbesar Australia, China akan membuka minggu degan laporan pembuatan Caixin yang dijangka stabil pada 50.1 mata.

Pelabur saham-saham mewah dijangka berminat dengan saham-saham seperti Broadcom (AVGO), Bank of Montreal (BMO), AutoZone (AZO), DollarGeneral (DG), Hewlett Packard (HPE), Brown Forman (BFb), National Bank of Canada (NA), Kroger (KR) dan Sekisui House (1928) yang bakal melaporkan pendapatan mereka pada minggu ini.

Selamat Berdagang!

 

No rating results yet