Abdul H. Jaffar
RealTraderCommunity Blog > Analysis and Insight > RBA Kekalkan Kadar, Aussie Terus Dibida

RBA Kekalkan Kadar, Aussie Terus Dibida

Bank Pusat Australia, RBA dalam mesyuarat kadarnya yang ke-11 tahun ini dan yang terakhir untuk 2018; mengekalkan kadar pada 1.5%. Mesyuarat yang seterusnya adalah pada Februari 2019. Aussie yang dibuka dengan “gap-up”, kesan dari mesyuarat G20 yang positif, masih belum menutup “gap” tersebut. Tidak banyak yang berubah dalam kenyataan Gabenor Lowe dan kenyataan beliau bahawa tindakan selanjutnya adalah menaikkan kadar, seakan sudah tidak memberi kesan kepada pasaran. AUD/USD dilihat terus dibida sepanjang sesi Asia dan Eropah, semalam dan hari ini, serta masih kekal berada di atas ketiga-tiga pivot – bulanan, mingguan, dan harian – ketika artikel ini ditulis.

Australia bakal melaporkan data KDNK pada lewat sesi Amerika Utara hari ini, yang dijangka melemah dari 0.9% kepada 0.6%, disokong oleh data jualan runcit yang dijangka lebih baik, pada 0.3% berbanding 0.2% sebelum ini. Data laporan pekerjaan AS yang dijangka melemah, juga sedikit sebanyak telah mendorong penjualan USD, sekaligus memberi sokongan kepada matawang lain. Angka pekerjaan bukan perladangan AS, NFP, dijangka melemah dari 250 ribu kepada 200 ribu untuk bulan November dengan kadar pengangguran AS yang dijangka stabil pada 3.7%. Pendapatan purata sejam, pada asas tahunan, juga dijangka stabil pada 3.1%.

Ketika ini saya melihat sebarang kejatuhan, terutamanya ke paras pivot mingguan dan bulanan, serta penutupan “gap” sebagai peluang untuk membeli. AUD/USD dijangka kekal pada garisan sudut 60 darjah dan menguji paras rintangan 0.7450/80, dimana garisan sudut 60 dan 337.5 darjah bertemu, melainkan USD mendapat bidaan kuat kesan dari data NFP yang mengujakan pada Jumaat ini.

 

 

No rating results yet