Abdul H. Jaffar
RealTraderCommunity Blog > Berita Terkini > Saluran Minyak Trans-Alaska Pecah Ekoran Gempa

Saluran Minyak Trans-Alaska Pecah Ekoran Gempa

Jabatan Keselamatan Domestik Amerika Syarikat mengisytiharkan kecemasan di beberapa wilayah Alaska, selepas negeri itu dilanda gempa dengan ukuran 7 skala Richter Jumaat lalu. Gempa kuat itu telah menyebabkan penduduk di wilayah Anchorage, Matanuska-Susitna dan Semenanjung Kenai kehilangan bekalan elektrik dan gangguan kepada saluran minyak Trans-Alaska, sepanjang lebih 1,200 kilometer, yang membawa minyak mentah dari wilayah Artic ke terminal pelabuhan di Valdez. Saluran tersebut yang yang mampu membawa 2 juta tong minyak mentah sehari, hanya membawa 530 ribu tong sahaja pada Khamis.

Dalam kejadian tersebut, lapangan terbang Anchorage, ibu negeri Alaska, juga terpaksa ditutup bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Gabenor Alaska, Bill Walker, menyebut bahawa ia akan memakan masa seminggu dua untuk membaik pulih segala kerosakan. Kebanyakan syarikat dan agensi kerajaan negeri tidak dapat beroperasi penuh ekoran kejadian yang tidak diduga itu. Gempa yang terkuat di AS pernah berlaku di Alaska pada tahun 1964 dengan ukuran 9.2 skala Richter dan telah memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut ketika itu.

Alaska menghasilkan 494 ribu tong minyak sehari pada tahun lepas, dengan sebahagian besarnya melalui saluran paip Trans-Alaska ke pelabuhan Valdez, di mana ia dihantar oleh kapal tangki, biasanya ke kilang-kilang di Pantai Barat AS. Pelabuhan tersebut bernasib baik kerana tidak ada kapal tangki di terminal ketika gempa melanda. Pengeluaran minyak Alaska mula meningkat dua tahun lalu selepas hampir tiga dekad menurun daripada puncak – lebih 2 juta tong sehari pada tahun 1988, menurut data Jabatan Tenaga AS.

Alaska adalah pengeluar minyak ke-enam terbesar di AS selepas Colorado, Texas, New Mexico, Oklahoma dan Dakota Utara. Gangguan bekalan ini sedikit sebanyak boleh menstabilkan harga minyak mentah WTI yang telah merudum di bawah $50 setong dan memasuki minggu ke-lapan, di samping mesyuarat OPEC pada 5 Disember ini yang dijangka membincangkan pengurangan pengeluaran.

No rating results yet